Rumah kayu atau rumah kampung pada suatu masa dulu boleh
dikatakan tidak asing bagi orang Melayu. Tapi dengan urbanisasi penduduk kini,
ramai anak-anak Melayu yang tidak lagi mengenal apakah ciri bentuk sebenarnya
rumah kayu tradisional maupun caranya dibangun tanpa paku.
Sebetulnya, lama sebelum kedatangan pengaruh luar dan
telunjuk moden, penduduk asal Melayu dan Orang Asli di Semenanjung Tanah Melayu
dan Sumatera serta kaum Bumiputra/Pribumi lain di Borneo dan bagian lain di
alam Melayu telah mempunyai sistem perumahan yang canggih, cantik dan serasi
dengan gaya hidup dan alam sekitar.
Manakala orang Melayu dan Orang Asli di Semenanjung,
Sumatera dan pulau-pulau lain biasanya membina rumah sesebuah (ala banglo) yang
didiami oleh sekeluarga besar; sesetengah suku-kaum di Borneo lebih gemar
kepada konsep ‘rumah panjang’ yang memuatkan seluruh kampung! Yakni setiap
keluarga menghuni satu bahagian seperti ‘apartment’ yang dideretkan
sebelah-menyebelah, dengan anjung terbuka di hadapan
(dipanggil ‘ruai’ di Sarawak) yang
menyambungkan semua unit menjadi sebuah bangunan panjang.
Bahan binaan yang digunakan diambil dari sumber alam yang
boleh diperbaharui, yakni pelbagai jenis kayu-kayan, juga buluh dan rotan
hinggalah kepada daun-daun pelepah.
Kerangka atau struktur rumah pula menggunakan sistem
tebuk-tembus dan pasak yang tidak memerlukan paku. Yakni pembinaan rumah papan
Melayu sebenarnya ialah suatu sistem pasang-siap. Maka rumah itu boleh juga
‘ditanggal-buka’ dan di pasang semula di tempat lain, persis yang dibuat oleh
Badan Warisan Malaysia untuk
Rumah Penghulu Abu Seman, yang dipindahkan dari negeri Kedah ke Kuala Lumpur.
Selain itu, cara binaan tanpa paku juga membuatkan rumah
lebih anjal (flexible), sehingga ianya boleh diangkat melalui
‘gotong-royong’ orangramai dan dialih tempat.
Walaupun rumah yang benar-benar tradisional tidak
menggunakan sebatang paku pun, namun diakui bahawa bagi rumah kayu yang lebih
baru, ada juga elemen bukan struktur seperti isian dinding yang memakai
paku.
Dari sudut rekabentuk juga, rumah adat Melayu boleh
dikatakan amat canggih dan memuatkan ciri-ciri bistari, lagi kena dengan gaya hidup selesa
mengikut adat dan alam.
Ciri-ciri pintar ini termasuklah penyejukan atau
pengudaraan semulajadi (natural ventilation), peneduhan (shading),
keselamatan dan keamanan (safety and security) serta ‘kepersendirian’ (privacy).
Contohnya sifat paling ketara pada rumah tradisi Melayu
ialah ianya didirikan atas tiang. Pelbagai kelebihan muncul dari ‘keterapungan’
ini; termasuklah mengelakkan dari mudah masuknya binatang liar, serta terangkat
dari aras banjir. Rumah juga lebih sejuk akibat pengudaraan pada semua bahagian
(dari atas, tepi-tepi dan bawah). Selain itu, ruang kosong di bawah rumah (juga
disebut ‘polong’) menjadi tempat yang sesuai untuk menyimpan segala macam
barang perkakas.
Rumah Melayu juga selalunya terbahagi dua bahagian: yang
utama dipanggil ‘Rumah Ibu’ (sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola
rumah dan penyeri keluarga), sementara bahagian kedua ialah ‘Rumah Dapur’.
Pengasingan ini juga pintar – kebakaran selalunya terjadi dari api masakan;
maka jika dapur terbakar, lebih mudah mengawal sebahagian tertentu seperti
Rumah Dapur saja dan mengurangkan bahaya Rumah Ibu juga dijilat api dengan
cepat.
Jika rumah perlu dibesarkan, struktur ‘Rumah Tengah’ pula
boleh ditambah di antara Rumah Ibu dan Rumah Dapur.
Selain itu, selalunya di depan rumah mesti ada bahagian
lantai yang lebih rendah dari aras Rumah Ibu. Ianya berbumbung tapi selalunya
tak berdinding, cuma berpagar susur (railings). Ini dipanggil
‘serambi’, ataupun ‘selasar’ di setengah tempat di Pantai Timur. Ia menjadi
tempat pengantara di antara luar dan dalam rumah untuk duduk bekerja,
beristirehat atau menerima tetamu yang tak perlu masuk ke dalam Rumah Ibu,
yakni tidak mengganggu keluarga.
Di belakang rumah pula ada ‘pelantar’ yang menjadi tempat
kerja basah atau basuhan, yakni sama juga seperti konsep ‘ruang kerja’ atau
‘work area’ bagi apartmen dan rumah moden.
Rumah tradisi yang memang terangkat atas tiang bagi
menambah pengudaraan itu juga ada pelbagai gaya tingkap, termasuk jenis tingkap
sependiri seperti ‘French window’, guna untuk masuk angin dan cahaya.
Dengan adanya berbagai keping ukiran berlubang di dinding
bukan saja sebagai perhiasan, tapi juga bagi menggalakkan udara dan cahaya
masuk menceriakan rumah. Ukiran-ukiran pada rumah Melayu berunsur corak
geometrik atau tumbuhan (tiada corak fauna hidupan kerana larangan agama), dan
banyak yang amat halus pengukirannya.
Bahan penutup bumbung tradisi, yakni anyaman pelepah daun
seperti nipah ataupun bumbung genting tanah liat seperti yang dipanggil genting
‘Senggora’ di Pantai Timur Semenanjung Melayu, juga memainkan peranan
menyejukkan rumah. Malangnya sekarang ini kepingan zink lebih disukai-ramai kerana
ianya murah dan senang dipasang, tapi menyebabkan rumah lebih berbahang dan
bising pula semasa hujan.
Bumbung rumah Melayu sentiasa jenis condong untuk
kesesuaian cuaca hujan panas tropika (tiada bumbung rata atau leper), dan ada
dua kategori utama: gaya ‘bumbung panjang’ (atap pelana)
dan keduanya ‘bumbung lima’
atau ‘limas’ (atap perisai). Bumbung
panjang ialah jenis yang lebih mudah, yakni hanya satu perabung membentuk
bukaan segitiga di kedua-dua hujung yang membenarkan pemasangan penutup tebar
layar.
‘Bumbung lima’ ialah jenis
yang ada lima
perabung (atau juga empat perabung bagai piramid untuk struktur ringkas seperti
pondok wakaf). Lebih canggih lagi, ‘bumbung lima’
ini ditambah struktur segitiga di atasnya lalu dipanggil ‘limas’ (dari ‘lima emas’ karena suatu
masa dulu hanya rumah orang berada atau pembesar yang berbumbung limas, dan
mungkin mula digunakan semasa Kesultanan Johor-Riau).
Dua-dua jenis bumbung ini boleh melahirkan apa jua
kombinasi bentuk bumbung yang boleh difikirkan, dan ada tempat yang mempunyai
corak bumbung tersendiri seperti bumbung rumah Minangkabau Negeri Sembilan
(yakni sejenis bezaan ‘bumbung panjang’). Bumbung rumah tradisi juga pasti ada
unjuran (emper/overhangs) untuk teduh dari panas dan hujan lebat. Sepanjang
tepian hujung bumbung pula selalu dipasang cucur atap atau 'papan cantik'
berukir.
Sesetengah rumah pula ada bilik di dalam rongga bumbung
(iaitu seperti ‘attic’, kadangkala dipanggil ‘loteng’ atau ‘lenting’),
hatta membuat rumah yang sedia terangkat atas tiang itu menjadi rumah tiga
tingkat. Malahan telah ada istana kayu lama yang dibina setinggi lima atau enam tingkat,
dengan struktur tanpa sebarang paku pun. Satu contoh indah ialah Istana Seri
Menanti di Negeri Sembilan, Malaysia selain juga di Sumatera, Borneo dan
Tanah Bugis, Sulawesi.
Malangnya, bangunan sehebat manapun dari bahan organik
seperti kayu tidak tahan jika tidak disenggara rapi. Maka warisan rumah papan
ini akan pupus tanpa adanya pembinaan rumah asli baru, lebih lagi jika ilmu
senibinanya juga hilang dari kalangan orang Melayu.
Kebanyakan arsitek/jurubina tempatan, dalam menimba dan
mengejar senibina ala Barat, tidak mengendahkan lagi ilmu binaan tradisi. Sedangkan
ilmu senibina lama masih mampu dikaji untuk memberi penyelesaian atau dimajukan
lagi buat kesesuaian hidup gayakini.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar